Jendela 2021 telah melabuhkan tirainya pada Jumaat lepas dan diharap kehadiran 2022 menjanjikan sesuatu lebih baik terutama buat penggemar filem francais popular yang sebelum ini pernah mengaut kutipan pecah panggung.
Ternyata di tahun baharu ini juga mampu mengubat kerinduan para audiens terhadap naskhah-naskhah epik dan ikonik dunia memandangkan kalendar 2022 dipenuhi dengan deretan filem kegemaran ramai.
Mengisahkan seorang saintis bernama Dr Michael Morbius yang menderita penyakit pelik tiba-tiba bertukar menjadi puntianak sebaik terbabit dalam satu insiden, malah sentiasa dahagakan darah manusia. Dilakonkan oleh aktor kacak handalan Jared Leto, naskhah Morbius bakal ditayangkan pada 28 Januari ini.
Menjadikan Robert Pattinson sebagai Bruce Wayne dalam The Batman 2, para penonton akan disajikan babak-babak aksi terhebat di kala adiwira kesayangan ramai itu tangkas menentang musuh-musuhnya termasuk The Riddler dan Penguin yang tekad menghancurkan keharmonian Gotham City bermula 4 Mac ini.
Ditayangkan pada 15 April depan, filem ini wajib ditonton peminat dan pembaca novel Harry Potter atau Potterheads. Menariknya, teraju utama filem ini, Newt Scamander akan bekerjasama dengan Professor Albus Dumbledore dalam usaha mereka menewaskan anasir jahat Grindelwald demi kepentingan peribadi.
Bagi yang telah menonton Spider-Man: No Way Home, pastinya tidak sabar untuk mengikuti filem Marvel seterusnya berjudul Doctor Strange in the Multiverse of Madness. Terdapat pelbagai perkara yang kusut akan dirungkaikan dalam filem ini termasuk pertalian antara Scarlet Witch dan Doctor Strange sebaik karya ini berada di pawagam pada 6 Mei nanti.
Bakal menemui penonton pada 29 Julai, Black Adam merupakan watak anti-hero baharu yang diperkenalkan DC Universe. Dibintangi oleh Dwayne Johnson sebagai Black Adam, dia memiliki kuasa sama seperti adiwira Shazam yang diburunya demi membalas dendam atas kematian ahli keluarga.
Spider-Man: Across The Spider-Verse merupakan filem animasi adiwira Amerika yang merupakan sambungan daripada cerita Into The Spider-Verse (2018) dan tetap mengekalkan gandingan sama iaitu Miles Morales sebagai Spider-Man, manakala Gwen Stacy sebagai Spider-Gwen apabila ditonton pada 7 Oktober ini.
Walaupun pelakon utama Black Panther, Chadwick Boseman telah meninggal dunia pada 2020, menghormati bintang berkenaan, Marvel tidak mencipta semula Boseman dalam bentuk CGI atau menyusun semula plot cerita. Sebaliknya, pelakon sokongan iaitu Letitia Wright’s Shuri dan Danai Gurira’s Okoye akan dijadikan tumpuan utama penonton sejurus ditayangkan pada 11 November.
The Flash yang dijangka keluar pada 4 November ini dilakonkan oleh Ezra Miller menyaksikan kemunculan adiwira tersebut secara solo selepas bertahun-tahun DC Extended Universe mengubah strategi. Namun keterujaan [emceritaan naskhah DC ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Superman versi klasik.
Merupakan sambungan daripada Aquaman pertama, filem ini merupakan arahan oleh pengarah kelahiran Malaysia, James Wan. Setakat ini, Aquaman and The Lost Kingdom masih belum mempunyai sebarang trailer, walaubagaimanapun karya asal milik DC ini direncanakan masuk panggung pada 16 Disember hujung tahun.
Avatar 2009 merupakan filem paling laris sepanjang zaman dan akhirnya James Cameron menunaikan janjinya untuk meneruskan naratif antara Jake Sully dan Neytiri dan eksplorasi kawasan baharu bernama Pandora. Dipercayai bahawa Avatar 2 merupakan filem yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat warga biru ini yang mungkin ditayang pada 16 Disember. – BOOM!