Anggota kumpulan Elite, Watie Sadali bersetuju membayar secara ansuran kepada Hana Adnan bagi menyelesaikan hutang yang tertunggak selama 12 tahun.
Saman penghutang penghakiman itu difailkan Hana atau nama sebenarnya Norhanasafiza Mat Adnan pada 18 Mei 2017 susulan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada 10 Mac 2015 dalam kes saman induk yang memerintahkan Watie membayar ganti rugi berjumlah RM707,351.83.
Ganti rugi itu dituntut Hana atas alasan Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali gagal menjelaskan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli kenderaan model Toyota Wish.
Melalui persetujuan dicapai kedua-dua pihak hari ini, Watie yang kini aktif sebagai pelakon bersetuju membayar amaun lebih RM2,000 sebulan sehingga penyelesaian penuh hutang, termasuklah kadar faedah dengan jumlah keseluruhan RM796,000 kepada Hana.
Dalam prosiding itu bagaimanapun, kedua-dua bekas rakan sekumpulan terbabit tidak hadir di mahkamah, tetapi Watie diwakili peguam, Aqila Zulaiqha Zulkifli.
Pada masa sama, Hana turut memohon agar dikeluarkan waran tangkap terhadap isteri kepada pelawak Joey Daud itu seandainya defendan gagal hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan atas kegagalannya membayar hutang itu.
Terdahulu, dalam pernyataan tuntutannya melalui saman induk, Hana menjelaskan, dia membuat pinjaman bank berjumlah RM150,000 untuk membeli kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit pada September 2005 bagi pihak Watie memandangkan rakannya itu tidak layak membuat pinjaman.
Pun begitu dakwanya selaku plaintif, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan iaitu gagal melakukan pembayaran sewa beli sejak September 2010 kepada pihak bank sehingga menyebabkan Hana diisytiharkan muflis pada 1 April 2015. – BOOM!
Sumber: Berita Harian