Sepanjang dua dekad aktif di persada seni hiburan mandopop, Wang Leehom mencipta populariti tersendiri menerusi lagu-lagu berbahasa Mandarin nyanyiannya di seluruh dunia.
Terkini, bintang Asia berusia 46 tahun itu terpalit skandal perceraian yang memalukan apabila bekas isterinya, Lee Jinglei mendedahkan kisah dilalui selama perkahwinan mereka.
Memetik laporan Dailymail, kontroversi itu tercetus selepas Leehom mengesahkan dia dan isterinya bercerai menerusi satu kiriman mesej dalam talian.
Bagaimanapun, Jinglei menuduh penyanyi kelahiran New York, Amerika Syarikat itu sebenarnya telah mendera emosinya kerana menjalin hubungan sulit, selain kerap melanggan pelacur.
Ekoran pembongkaran tersebut, penyandang status Penyanyi Lelaki Terbaik Muzik Pop China 2019 itu lantas menafikan kenyataan dikeluarkan wanita berkenaan.
Pun begitu, tidak berapa lama Leehom membuat permohonan maaf kepada Jinglei serta mentuanya kerana gagal menguruskan rumah tangga.
Berita perpisahan bintang itu heboh diperkatakan warganet di platform media sosial yang rata-rata menyalahkan bapa kepada tiga orang anak terbabit.
Leehom selama ini disifatkan para peminat muzik oriental sebagai selebriti yang berimej bersih tanpa sebarang masalah. – BOOM!