Usahawan selebriti Nur Sajat tidak pernah lekang dengan kontroversi, malah namanya sering menjadi perhatian dalam kalangan netizen meskipun kini sudah menetap di Bumi Kanggaru.
Jika sebelum ini dia pernah memberitahu impiannya untuk membuka perniagaan di Australia, kini ia menjadi kenyataan apabila pemilik nama sebenar Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, selesai mendaftar perniagaannya di sana.
Berkongsi mengenai perkara itu di laman Instagram, Sajat baru-baru ini telah memuat naik dokumen pendaftaran perniagaan diperolehnya.
“Alhamduillah… Tunggu pembukaan Nur Sajat Legacy Cosmetics di Sydney. Janji tetap janji. Team Sajat akan berkepak di Australia.
“Saya bersyukur sangat dengan team Sajat di Australia. Sesiapa yang nak bekerja dengan saya, dah bersedia ke nak berhijrah ke luar negara? Bulan April atau Mei nanti perniagaan akan mula beroperasi. Tunggu!” katanya memaklumkan tentang hal itu.
Dia turut berjanji akan memberitahu perkembangan terkini mengenai perniagaannya di sana dari semasa ke semasa.
Katanya, dia akan meneruskan legasi perniagaan yang dimulakan di Malaysia seperti bengkung, kosmetik dan produk kecantikan.
Entri itu menerima ucapan tahniah daripada pengikutnya yang turut memuji usaha gigihnya membuka perniagaan di negara asing.
“Semangat Sajat tak semua orang ada. Pelbagai cemuhan dan kejian sampai dia lari menumpang negara orang. Tetapi dia tetap buktikan boleh hidup dan bangkit semula dari bawah tanpa menjual diri.
“Memang salute sangat. Jangan cerita bab dosa dia, itu antara dia dengan Allah. Saya sentuh bab semangat dia,” tulis seorang pengikut.
Menjawab soalan seorang pengikut, Sajat menafikan empayar perniagaannya di Malaysia sudah terkubur, sebaliknya berjalan seperti biasa, bahkan terus mendapat permintaan tinggi. – BOOM!