“Benar, saya bukan lagi janda.” Begitulah reaksi Vicha Barbie apabila ditanya tentang statusnya yang didakwa sudah kembali bergelar isteri sejak tiga tahun lalu.
Tiada niat untuk menyembunyikan perkahwinan keduanya, Vicha atau Refika Novianti Faturohman, 34, mengakui berkahwin dengan lelaki warga Nigeria bernama Johnson dan telah pun dikurniakan seorang anak.
“Nama anak lelaki kami ialah Michael Trevor Ayomide yang kini berusia dua tahun.
“Saya dan suami berkenalan sejak tahun 2015. Dia seorang mualaf dan sudah memeluk agama Islam. Saya minta maaf kerana tak beritahu lebih awal.
“Sekarang ni saya rasa sudah sampai masanya untuk umum mengetahuinya sebab ada yang bertanya tentang Johnson memandangkan kami selalu kelihatan bersama.
“Saya harap pendedahan ini tidak akan mencetuskan lagi spekulasi, sekali gus dapat mengelakkan fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, Vicha berkata, suaminya seorang lelaki yang matang dan sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.
“Masa kami berkawan, saya sudah beritahu kepada dia yang saya tidak mahu dikecewakan lagi. Bukan mudah untuk saya buka pintu hati kerana pengalaman lalu amat memeritkan.
“Namun Johnson meyakinkan yang dia takkan mengecewakan saya dengan mempamerkan kesungguhan,” katanya. – BOOM!