Pasangan selebriti, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen sekali lagi mendapat tawaran istimewa daripada tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan apabila berpeluang menaiki jet peribadi milik jutawan ternama itu.
Terdahulu, Hanis atau Hanis Zalikha Zainal Rashid, 31 sekeluarga pernah dipelawa menaiki kapal layar mewah yang dinamakan Asean Lady, juga kepunyaan Vincent pada Oktober lalu.
“Ia merupakan sesuatu yang amat tak dijangka dan kami sangat berbesar hati kerana dijemput sendiri oleh beliau untuk menikmati percutian luar biasa ini.
“Masya-Allah, ini merupakan rezeki anak-anak dan kami hanya menumpang. Secara tidak langsung, ia menjadi permulaan baik untuk melangkah masuk ke tahun 2022,” kongsi Hanis di laman Instagram.
Sementara itu, suami aktres berkenaan, Hairul Azreen Idris, 35, dilihat turut berkongsi beberapa keping gambar dan video bersama Vincent ketika berada di atas kapal layar tersebut di akaun media sosialnya.
Menonton klip dimuat naik aktor Paskal itu, pengangkutan mewah yang dinaiki membawa mereka belayar dari Pulau Redang menuju ke Pulau Perhentian, Terengganu.
“Sebaik beliau menghubungi saya, tak sangka rezeki ini yang menanti. Alhamdulillah,” ujarnya.
Hanis dan Hairul mendirikan rumah tangga pada 2015 dan pasangan merpati sejoli itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yusuf Iskandar, 6 dan Alisa Aisyah, 3. – BOOM!