Penangan vokal unik milik pelantun lagu Pujaan Malaya, Adzrin Adzhar bersama barisan kugiran ditubuhkannya yang dinamakan AANTU atau Adzrin Adzhar N The Uncle ternyata menambat hati panel juri profesional, sekali gus mengangkat mereka selaku juara program nyanyian Suara Viral 2.0.
Adzrin atau Noradzrin Adzhar, 37, ketika ditemui berkata, kegemilangan AANTU mendominasi pentas akhir SV 2.0 pada Rabu lalu merupakan momen terindah pernah dilakar selama bergiat aktif dalam bidang nyanyian.
“Bagi yang mengetahui sejarah hitam saya, pasti mereka tahu betapa getir dan likunya perjalanan hidup yang terpaksa dilalui.
“Saya pernah dipenjarakan dan pada masa sama disahkan menghidap kanser ovari. Namun kedua-dua pengalaman itu banyak mengajar saya untuk menjadi lebih dewasa tanpa kenal erti putus asa.
“Sebaik dibebaskan dari penjara, Allah juga membebaskan saya daripada derita penyakit kanser.
“Dari situ bermulalah episod penubuhan AANTU demi menempatkan semula jenama Adzrin Adzhar dalam industri seni suara yang saya cintai,” ceritanya kepada BOOM!.
Merupakan seorang guru vokal, Adzrin selaku vokalis menubuhkan kugiran yang dianggotai empat pemuzik iaitu Dedek sebagai gitaris utama, Shuk (gitaris kedua), Apen (basis) dan Meg (dram).
Mengulas kemenangan diraih dalam program realiti nyanyian terbitan Astro itu, Adzrin sama sekali tidak menjangka keputusan pada malam kemuncak berpihak kepada AANTU.
“Apatah lagi di peringkat suku akhir, persembahan kami agak mengecewakan.
“Namun kami kembali bangkit pada acara semi final dan di penghujungnya, Alhamdulillah gelaran juara jadi milik kami,” jelasnya. – BOOM!