Penyanyi muda berbakat besar, Usop dan tunangnya, Nur Fatihah Md Hashim atau Teha, 25, selamat diijabkabulkan dalam satu upacara pernikahan yang diadakan di Kompleks Darul Hidayah, Pulau Pinang.
Acara akad nikah tersebut berwalikan bapa Teha sendiri iaitu Md Hashim Nordin dan bersaksikan abang kandungnya, Muhammad Firdaus.
Usop atau Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, 24, menyerahkan tujuh dulang hantaran berserta mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan, manakala dibalas sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Difahamkan majlis bagi pihak perempuan akan berlangsung pada malam ini dan majlis resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan pada 13hb Feb 2022 di Kulim Kedah.
Berkongsi kisah percintaan mereka, perkenalan Usop dan Teha bermula sejak dua tahun lalu dan diteruskan kepada ikatan pertunangan pada November 2021 sebelum bergelar sebagai suami isteri.
Menurut Usop, dia berharap agar peminat serta mereka yang mengenalinya dapat mendoakan kebahagiaannya dan Teha sehingga ke anak cucu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
“Walaupun usia saya masih muda, tetapi saya harap dapat membimbing dan memegang tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin jadi suami terbaik buat Teha. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya melafazkan janji.
Soal zuriat, Usop memberitahu, dia dan isteri enggan terburu-buru sebaliknya menyerahkan kepada rezeki.
Buat masa ini tambahnya, fokus mereka adalah untuk membina kehidupan sebagai suami isteri terlebih dahulu. – BOOM!