Hakikatnya, semakin banyak edisi program realiti nyanyian menjadi hidangan stesen televisyen bukan sahaja tempatan tetapi juga antarabangsa.
Rata-rata memberikan alasan untuk mencungkil bakat baharu sekaligus menjadi pelapis industri hiburan negara.
Mic On terbitan Awesome TV antara yang relevan dan memasuki musim kedua membariskan 15 peserta beradu nasib dan kini sudah memasuki minggu ketujuh.
Kesemua peserta terbahagi kepada tiga jurulatih terdiri daripada pelawak Ropie, Fad dan Ajak.
Satu kelainan yang mahal pada Mic On ialah peserta dalam kelompok jurulatih yang sama perlu menggantikan rakan mereka yang tidak dapat membuat persembahan.
Rakan sekumpulan perlu membuat persembahan menggantikan rakan yang tidak sihat bagi mengumpul markah dan dapat terus bertahan dalam pertandingan.
Perkara itu diajukan kepada juri tetap Datuk Awie dan Mas Idayu yang menyifatkan ia kelainan dalam Mic On.
“Ia satu semangat yang baik ditunjukkan oleh mereka sebagai satu pasukan.
“Team work antara mereka untuk memastikan rakan mereka dapat markah dan menyumbang kepada markah terkumpul bagi setiap kumpulan,” katanya.
Mas Idayu berkata itulah kelainan Yang di tampilkan dalam program berkenaan.
“Itulah program ini, dia boleh jadi macam itu, kalau program realiti yang lain tidak begitu.
“Tidak ada salah, tapi sama ada ikhlas atau tidak dalam kalangan peserta. Kalau bagus markah dia (yang diganti) akan lagi tinggi. Konsep ini sesuai dengan keadaan dan situasi ketika ini,” katanya.
Setiap minggu peserta akan diberikan tugasan mengikut tema yang ditetapkan. Penjurian adalah 100% oleh barisan juri tetap yang terdiri daripada tiga nama figura seni tersohor tanah air, Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu.
Peserta akan diadili berdasarkan tiga kriteria utama pemarkahan iaitu daripada segi vokal (40%), kreativiti (30%) dan persembahan (30%). Manakala Issey Fazlisham menggalas tugas sebagai hos. – BOOM!