Ogy Ahmad Daud berkata dia kecewa dengan budaya dan kualiti kerja yang diamalkan dalam industri sinema tempatan ketika ini.
Pemilik nama sebenar Fauziah Ahmad Daud itu menjelaskan, penggiat seni yang bekerja di belakang tabir tidak melalui proses sama dilaluinya menyebabkan mereka tidak faham erti tanggungjawab mahupun mempunyai pemikiran berdaya kritis dalam menguruskan skop kerja masing-masing.
“Saya kecewa dengan budaya kerja belakang tabir industri kita. Saya bosan dengan mereka yang lacurkan seni.
“Saya dulu disuruh pasang kabel, pasang itu ini sebab nak belajar. Namun sekarang usaha seperti itu tiada dan budaya kerja generasi sekarang dah songsang.
“Misalnya, penolong pengarah hanya tahu buat jadual. Boleh berdebat dengan saya, sebab kerja yang kamu buat tu, saya dah buat,” getusnya.
Ogy berkata demikian ketika ditemui pada sesi tayangan filem pendek pertama arahannya, Asrar di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur semalam.
Asrar diterbitkan syarikat Ogy Ventures & Network dengan kerjasama DBP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Ogy pada masa sama bertegas, luahannya itu dibuat demi membawa perubahan dalam industri kreatif tanah air.
Kata seniwati berusia 60 tahun itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membetulkan budaya atau amalan kerja yang salah.
Lebih mengecewakan menurut Ogy, generasi sekarang kebanyakannya tidak boleh ditegur.
“Cukup, cukup saya katakan. Macam mana industri kita nak maju kalau asyik terus begini? Saya nak betulkan urat-urat saraf yang dah haywire (kusut).
“Tapi mereka ni ego tak bertempat. Kemudian cakap kita pula diva. Eh nak saja aku cakap, aku bukan diva, aku legend OK,” getusnya. – BOOM!