Finalis Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36), Shiha Zikir menepis dakwaan liar sebilangan warganet yang mengaitkan persembahannya dengan konsep iluminati.
Tegas Shiha, lagu Aewo yang dinyanyikan bersama rapper sensasi daripada kumpulan K-Clique iaitu Noki pada malam berprestij itu dipersembahkan dengan jalan penceritaan yang jauh daripada unsur syirik dan songsang.
“Mana mungkin saya dan semua pihak yang terlibat termasuk produksi AJL akan lepaskan jenis persembahan macam tu (iluminati).
“Tak mungkin kami nak lakukan perkara-perkara syirik. Sama sekali tidak!
“Saya dah hadap dakwaan-dakwaan orang sebelum ini. Iluminatilah, lambang segi tigalah. Memang tidak dinafikan, orang akan fikir negatif kalau mereka tidak ikuti penceritaan lagu ini dari awal sampai habis. Pengakhirannya kami sampaikan pesanan, jangan berbuat syirik dan macam-macam lagi,” katanya.
Tegas Shiha, dia dan mereka yang terlibat di belakang tabir berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan persembahan berdaya kreatif dan memberi impak kepada penonton.
Katanya lagi, dia terbuka menerima kritikan dan pandangan netizen. Namun ujar Shiha, dakwaan-dakwaan yang mengaitkan persembahan tersebut dengan perkara syirik adalah tidak benar sama sekali. – BOOM!