Biarpun memiliki pengalaman luas dalam bidang umrah dan latar belakang pendidikan tinggi, pelantikan PU Amin dan PU Riz sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy tetap menjadi pertikaian sesetengah pihak.
Ini kerana, khalayak mendakwa populariti mereka sebagai pendakwah selebriti dianggap sebagai jalan mudah untuk memegang posisi berkenaan.
Amin yang ditemui pada majlis pelancaran Diploma Pengurusan Haji dan Umrah sempena kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang semalam menjelaskan, pelantikannya sebagai pensyarah kanan pengajian tersebut tidak mempunyai sebarang isu.
Selain mempunyai pengalaman selama sembilan tahun sebagai mutawif, PU Amin juga memiliki kelayakan daripada segi akademik.
Tidak hanya bergelar graduan lepasan Universiti Al Azhar, Mesir, Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 32, turut memiliki ijazah sarjana (Master) daripada Open Universiti Malaysia dalam bidang Pengajian Islam.
“Soal kelayakan untuk menjadi pensyarah kanan di kolej sudah mencukupi dan tidak wujud sebarang isu. Berbeza jika universiti awam untuk menjadi pensyarah kanan kelayakan yang diperlukan adalah Doktor Falsafah (PHD).
“Saya juga mempunyai pengalaman selama sembilan tahun dalam industri ini. Sebab itu, saya menerima tawaran menjadi pensyarah kanan,” tuturnya.
Tambah Amin yang telah tiga tahun bergelar pensyarah kanan di institut berkenaan, selain berdakwah dan muncul di televisyen, bidang pendidikan cukup dekat dengan jiwanya.
“Saya suka mengajar ditambah pula dalam lapangan yang menjadi kecintaan saya. Misi saya adalah untuk lebih ramai anak muda berminat mempelajaribidang-bidang islamik.
“Apa lagi trend hari ini lebih ramai orang muda melakukan haji dan umrah, jadi permintaan untuk pekerja muda dalam bidang ini amat tinggi,” ulas Amin.
Selain PU Amin, seorang lagi pendakwah selebriti, PU Riz atau Haris Ismail turut dilantik sebagai pensyarah kanan Diploma Pengurusan Haji Dan Umrah tersebut pada tahun ini.
Pengasas YEG Academy, Hasan Ithnin berkata, pemilihan dua pendakwah selebriti berkenaan bukanlah kerana popularti semata-mata, sebaliknya mereka turut berkongsi perjuangan yang sama dengan pihaknya.
“Pihak kami tidak mengambil mereka berdua sebab popular sahaja, tetapi kami duduk berbincang dan melihat misi kehidupan yang diinginkan dalam kehidupan.
“Pihak kami mewujudkan diploma ini bukan kerana wang semata-mata, sebaliknya terdapat perjuangan yang perlu diteruskan.
“Insya-Allah dengan adanya gandingan Amin dan Riz yang merupakan dua tokoh muda, diharap kami dapat melahirkan anak-anak muda yang luar biasa dalam pengajian ini,” ujar Hasan.
Menariknya, pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di YEG Academy akan dihantar ke Mekah dan Madinah untuk menjalani latihan industri di sana bersama syarikat pelancongan islamik terkemuka seperti Andalusia Travel and Tours.
“YEG Aacademy adalah kolej pertama yang menghantar pelajar menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah. Setakat ini kami mempunyai 500 orang pelajar yang sedang dan akan menjalani latihan industri di sana secara berperingkat,” kata Hasan.
Diploma Pengurusan Haji dan Umrah adalah salah satu pengkhususan bidang di bawah kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangantersalahpilihbidang yang dilancarkan semalam di Royale Chulan Damansara, Selangor. – BOOM!