Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil berkongsi dengan pengikutnya di Instagram mengenai pertemuannya bersama keluarga penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman baru-baru ini.
Saddiq berpendapat, apa yang berlaku terhadap penyanyi itu merupakan tangisan meminta bantuan bukan sahaja dirinya, tetapi kepada orang lain yang turut menderita dan memerlukan kanabis sebagai rawatan perubatan.
“Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada Saudara Yasin sebab terlepas pandang post saudara pada Oktober lepas.
“Ia adalah tangisan meminta pertolongan bukan sahaja untuk Yasin tetapi untuk orang lain yang menderita dan memerlukan kanabis sebagai rawatan,” kata Saddiq.
Tambahnya, dia seringkali bertemu dengan ibu bapa yang terpaksa membeli phytocannabinoid CBD (cannabdiol) atau minyak CBD dari luar negara untuk merawat anak- anak mereka.
“Saya ada jumpa mak ayah yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka.Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.
“Mereka layak mendapat ubat yang terbaik untuk kesihatan mereka. Ini soal hidup dan mati!” tegasnya. – BOOM!