Di sebalik kontroversi lagu Kelepok Raya dendangan usahawan selebriti Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Shahida, ada hal lain yang mencuri perhatian netizen.
Ini kerana ramai yang terkejut apabila rata-rata buat pertama kali mendengar Shahida melontarkan suara dalam single sempena lebaran itu.
Bagi yang mengenali wanita cantik itu, pasti maklum bahawa Shahida memang seorang penyanyi dan pernah menganggotai kumpulan nasyid Solehah yang popular sekitar lewat 90-an.
“Sedap suara Datin. Mujur sebab telah menyelamatkan lagu yang sedap ini,” antara pujian yang diberikan pengikut Instagram.
Malah beberapa teman media turut memuji suara Shahida ketika sesi preview lagu berkenaan sehingga membuatkan Aliff ‘cemburu’, lantas menjeling tanda protes.
“Saya sudah lama tak masuk studio rakaman, ada dalam lebih 10 tahun. Bila Abang Amy Ukays selaku komposer mencadangkan, saya cuba.
“Tapi biasalah, suami saya pengkritik nombor satu, ada saja yang tak kena sepanjang proses rakaman di telinganya,” katanya mencebik.
Aliff yang duduk di sisi berkata, suara isterinya lebih kasar berbanding dahulu dan meminta media hanya fokus kepada keunikan suara miliknya sahaja.
Sempat mengusik Shahida atau nama sebenarnya Nur Shahida Mohd Rashid, 37, untuk menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9), jawabnya ia bukan perkara mudah dan banyak hal perlu dipertimbangkan.
“Saya sudah lama tak menyanyi. Kemunculan kali ini juga sebagai sokongan kepada suami. Terima kasih kerana masih percaya bakat saya,” katanya.
Netizen turut berharap Shahida mencuba nasib menyertai pertandingan GV kerana kagum dengan suara lemak merdu miliknya.
Shahida bersama Solehah yang turut dianggotai rakan baiknya, Bienda popular dengan lagu Islam Agamaku, 25 Nabi dan Anak Solehah. – BOOM!