Jika sebelum ini tular video yang menyaksikan anak kepada pengacara dan usahawan berjaya, Noor Neelofa iaitu Muhammad Bilal dikatakan memperoleh duit raya melebihi RM14,000, berlainan pula ceritanya mengenai putera Tya Arifin dan Asyraf Khalid.
Bagi perayaan Aidilfitri baru-baru ini, anak sulung pasangan berkenaan iaitu Arif Jiwa berkongsi momennya membuka sampul duit raya yang dimuat naik di YouTube milik ibunya, Tya’s Family.
Dapat dilihat menerusi video berdurasi enam minit lebih itu, Arif sambil ditemani kedua-dua ibu bapanya begitu gembira dan teruja melihat betapa banyaknya timbunan sampul di atas meja.
Justeru, berdasarkan timbunan dipaparkan, rata-rata pelayar laman tersebut boleh menjangka jumlah wang diterima Arif adalah besar amaunnya walaupun tidak dimaklumkan dalam rakaman itu.
Namun yang menarik perhatian warganet ialah reaksi spontan kanak-kanak berusia lima tahun itu tatkala ditanya hasratnya sementelah memiliki wang sebegitu banyak.
“Wang ini abang nak guna untuk tolong orang susah,” balas Arif menjawab soalan diajukan Tya.
Ternyata jawapan si cilik itu berjaya menyentuh perasaan para penonton klip tersebut yang kagum mendengar hasrat murni hatinya.
Rentetan itu, warganet tidak putus-putus mendoakan agar Arif membesar sebagai seorang anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat. – BOOM!