Pengarah Mat Kilau, Syamsul Yusof ketika ditanya tentang ketiadaan kelibatnya dalam filem arahan sendiri akui dia terpaksa menolak permintaan penerbit kerana mahu memberi fokus terhadap pengarahan.
Menyedari kos pembikinan Mat Kilau menelan belanja yang besar, Syamsul menetapkan pendiriannya untuk berada di sebalik tabir menjalankan tanggungjawab selaku sutradara sepenuhnya.
“Asalnya memang penerbit mahukan saya turut beraksi dalam filem ini. Memandangkan penerbitan naskhah epik seperti ini besar belanjanya, jadi saya pilih untuk fokus selaku pengarah.
“Bahkan saya juga menulis skripnya. Saya tak nak setiap sen yang dibelanjakan sia-sia jika saya mengarah dan berlakon pada masa sama.
“Sebab itu saya terpaksa tolak permintaan penerbit,” jawabnya.
Mengulas tentang harapannya menerusi karya epik pertama arahannya itu, matlamat Syamsul sangat jelas.
Katanya, dia mahu industri penerbitan dan perfileman negara segera pulih selepas teruk merundum sepanjang pandemik lalu.
“Matlamat utama saya untuk menghidupkan semula bisnes di pawagam supaya pempamer dan penerbit dapat menjana pendapatan mereka semula.
“Ini kerana sebelum ini industri perfileman kita teruk terjejas, malah ada syarikat pempamer gulung tikar kerana tidak mempunyai sumber kewangan kukuh mempertahankan pawagam mereka.
“Jadi saya berharap, filem arahan saya ini mampu menarik minat penonton untuk kembali ke pawagam,” ujarnya ketika ditemu bual. – BOOM!