Penyanyi dan anggota kumpulan Indigo, Bad mengumumkan telah bercerai dengan isterinya, Ashira Aziz melalui satu perkongsian video di media sosial hari ini.
Katanya, permohonan perceraian itu dibuat atas persetujuan bersama.
“Kami sudah mencapai persetujuan bersama bahawasanya kini sah bercerai. Tetapi, kami tetap akan berkawan sampai bila-bila sebab saya tetap sayangkan dia,” ujarnya.
Bagaimanapun Bad menegaskan, tiada orang ketiga terbabit dalam perceraian itu.
Dia juga menjelaskan, punca perceraian itu terpaksa dirahsiakan dan hanya mereka serta anggota keluarga saja mengetahuinya.
“Walaupun diri sendiri yang dedahkan aib itu, ia tetap satu dosa. Biarlah Allah, kami berdua dan keluarga saja yang tahu,” katanya.
Pada masa sama, Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah berkata, meski sudah bercerai, dia yakin, hubungannya dengan bekas isteri akan bertambah baik.
“Saya dapat rasakan lepas ini, mungkin lebih banyak kami akan bergambar dan keluar bersama,” tuturnya.
Ashira pula berkata, tiada masalah berlaku dan tujuan video itu dikongsikan supaya dapat menjelaskan sedikit sebanyak status terkini perkahwinan mereka.
“Kami beritahu cerita sebenar ini sebelum cerita lain timbul. Harap video dikongsikan ini jelas. Kami tetap baik. Tiada masalah antara kami.
“Kalau saya ada masalah dengan bekas suami, saya tidak berada dalam kereta ini,” katanya.
Video itu dirakam ketika mereka berdua berada dalam sebuah kenderaan.
Untuk rekod, sebelum ini Bad dilaporkan pernah berkata, dia enggan menyusahkan Ashira kerana keadaan kesihatannya akibat penyakit diabetes.
Dia juga pernah menjalani pembedahan memotong jari kakinya yang luka di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 Mac lalu. – BOOM!