Dengan sekali lafaz, pelakon terkenal Vanidah Imran kini sah bergelar isteri kepada seorang duda anak empat, Arifbillah Idris pada tengah hari Khamis.
Pasangan mempelai itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran di sebuah premis acara di Titawangsa, Kuala Lumpur, jam 12.12 tengah hari tadi.
Majlis pernikahan yang dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan teman rapat, Vanidah, 49, dan Arifabillah, 43, sepakat untuk tidak berkongsi jumlah wang hantaran sebagai memenuhi permintaan keluarga.
Pelakon filem Perempuan Melayu Terakhir dan Red Kebaya itu turut menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas daripada suaminya selain masing-masing berbalas dua dulang hantaran.
Kembali bergelar isteri, kata Vanidah, bukan sesuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.
“Sejujurnya yang hanya tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.
“Kawan rapat pun hanya dimaklumkan saya beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat,” katanya.
Vanidah turut berkata dia bersyukur dipertemukan jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya.
Jelas Vanidah, dia dan suami, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.
“Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata.
“Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan,” kata Vanidah lagi.
Dalam majlis serba ringkas namun penuh bermakna itu, penampilan Vanidah diserikan dengan busana perkahwinan rekaan Rizman Ruzaini.
Vanidah sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Rashidi Ishak pada 1 Oktober 2000 namun disahkan bercerai pada 9 Ogos 2018.
Hasil perkahwinan, Vanidah dan dikurniakan dua anak, Mikhail Imran, 21, dan Maryam Rashika, 18 tahun. – BOOM!