Itulah antara dialog dituturkan oleh pelakon watak antagonis bernama Miara dalam drama Kerana Aku Isteri Bidaan yang dibawakan oleh Silfeny Osman yang menjadi ingatan ramai.
Selepas hampir empat tahun menanti peluang untuk dikenali dalam bidang lakonan, Silfeny kini mampu menarik nafas lega apabila kehadirannya semakin diterima ramai.
Sejak membintangi naskhah arahan Ayie Mustafa itu, gadis berusia 29 tahun tersebut bersyukur apabila drama diterajui Hisyam Hamid dan Scha Elinnea terbabit berjaya melonjakkan namanya.
“Drama ini adalah produk yang menaikkan jenama Silfeny Osman. Terima kasih kepada pihak produksi dan TV3 atas kepercayaan yang diberikan.
“Tak dinafikan, menerusi watak Miara, peminat drama Melayu tempatan mula kenal dan sedar dengan kehadiran saya dalam industri seni.
“Bukan itu sahaja, peluang berlakon di sisi pelakon senior dan ternama juga memberi kelebihan kepada saya supaya lakonan kelihatan lebih menonjol,” ujarnya yang ditemui baru-baru ini.
Biarpun sudah lebih lima tahun bertapak dalam industri seni lakon tanah air, Silfeny akui tidak pernah rasa terpinggir.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah rasa diketepikan walaupun saya masih baharu. Banyak kata-kata semangat daripada insan sekeliling membuatkan saya dihargai untuk meneruskan kerjaya ini meski hakikatnya bukan senang,” katanya. – BOOM!