Kelibat dan nama aktor seberang, Randy Pangalila bukanlah asing dalam kalangan peminat drama tempatan sementelah dia banyak membintangi naskhah bersiri di Malaysia.
Randy yang ditemui pada tayangan filem Perjalanan Pertama baru-baru ini mengakui, dia berasa rindu untuk kembali berlakon dalam produksi di negara ini.
“Sejujurnya saya rindu berlakon di Malaysia, malah sudah ada perbincangan untuk membintangi beberapa projek seperti Gantung The Series musim kedua.
“Bagaimanapun projek itu terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik. Dalam keadaan yang semakin pulih, saya harap ia dapat diteruskan,” katanya.
Mengimbau pengalaman berlakon di Malaysia, Randy memberitahu ia satu pengalaman yang menyeronokkan.
Dalam pada itu, mengenai pembabitannya dalam filem Perjalanan Pertama, Randy memberitahu ia adalah satu penghargaan buat dirinya apabila dapat bergandingan di samping pelakon hebat Malaysia iaitu Datuk Ahmad Tamimi Sirergar.
Ujarnya, biarpun peranannya dalam filem berkenaan kecil, tetapi dia tertarik menerima tawaran berkenaan kerana mesej yang disampaikan menerusi karya arahan Arief Malinmudo itu.
“Sebaik membaca skrip filem ini, saya lantas tertarik dengan mesej kekeluargaan yang ingin diketengahkan berkisar tentang hubungan antara datuk dan cucu yang jarang dipertontonkan kepada penonton,” jelasnya. – BOOM!