Enam tahun menyulam kasih, Azzam Sham dilihat matang membicarakan soal hubungan cintanya dengan rakan seangkatan, Sheryl Shazwanie. Bahkan, juara Big Stage 2020 itu turut berdoa agar proses penghasilan lagu duet mereka dipermudahkan, sekali gus dijadikan jambatan jodoh menuju ke jenjang pelamin.
“Sejujurnya, saya memang dalam proses mengumpulkan bahan terbaik untuk disesuaikan dalam gubahan lagu duet nyanyian kami berdua. Meskipun keserasian antara kami sudah terjalin dan pernah bergandingan menyanyikan beberapa buah lagu, namun kualiti sesebuah karya tetap diutamakan.” ujar Azzam.
Bagi Azzam sebuah lagu yang baik bukan sekadar alunan melodi nan indah, malah kepuitisan bait lirik harus dititikberatkan kerana ia juga ibarat doa.
“Diharap saat berjodohan dalam lagu itu kelak mampu berpanjangan dan diterjemah ke alam realiti hidup kami,” selorohnya di samping menggambarkan fasa perhubungan mereka.
Menyifatkan diri seperti ulat buku, Azzam akui hobi menelaah bahan ilmiah banyak membantunya tampil lebih yakin, di samping mengikis perasaan malu yang agak menebal dalam dirinya.
“Membaca dan menulis adalah satu bentuk terapi yang saya amalkan dalam usaha memperbaiki kekurangan diri,” ujarnya yang mempraktikkan kaedah tersebut sekian lama.