Sebelum ini, nama penyanyi dangdut kontroversi, Baby Shima atau atau Nor Ashima Ramli sering menjadi perbualan ramai di media sosial gara-gara kerap tampil dengan penampilan yang mencolok mata serta aksi-aksi yang menghairahkan.
Sememangnya, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu tidak pernah sunyi dengan kontroversi malah, ada sahaja isu baru yang timbul sehingga mencetuskan kritikan dan kecaman hebat daripada netizen.
Namun berbeza pula dengan konten kali ini, penyanyi yang berusia 30 tahun itu berkongsi sebuah video di laman TikTok miliknya yang memaparkan dia berada di sebuah kedai runcit serbaneka untuk membeli beberapa barangan keperluan, baru-baru ini.
Ketika mencari barangan keperluan yang mahu dibeli, secara tiba-tiba Shima ternampak seekor kucing sedang berkeliaran seakan mahu memberitahu sesuatu kepadanya dan dia terus mengekori kucing tersebut sehingga ianya berhenti pada bahagian makanan kucing.
Kasihan dengan nasib kucing yang kelaparan itu, Shima membeli beberapa makanan kucing dan memberi makan kedua-dua ekor kucing tersebut di luar kedai runcit berkenaan.
Perkongsian Shima meraih pujian netizen dan rata-ratanya memuji sifat keprihatinan Shima serta menitipkan ucapan terima kasih kepada penyanyi itu yang tidak berkira dalam membantu kucing jalanan kelaparan.
Bukan itu sahaja, majoriti netizen menyokong konten yang dikongsikan oleh Shima pada kali ini berbanding dengan sebelum- sebelumnya dan mereka berharap supaya Shima akan terus melakukan kerja amal serta menjadi tauladan yang baik kepada masyarakat. – BOOM!