Nama Zack Kirana atau Cikgu Zack sebelum ini mencuri tumpuan warganet gara-gara dia menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik dalam lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Denyut Tu Nadi, Jantung Patutnya Degup” – Cikgu BM Tegur Kesalahan Lirik Casablanca
Rentetan teguran tersebut, Zack dihina dan dicerca dengan kata-kata kesat di media sosial oleh pembuli siber.
Justeru, disebabkan sudah hilang sabar, Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.
“Apabila sudah hilang sabar. Saya telah membuat laporan polis terhadap individu yang menghina dan mencerca saya dengan kata-kata kesat di media sosial.
“Individu terbabit juga cuba menjatuhkan maruah saya sebagai seorang pendidik dan pendukung bahasa Melayu.
“Saya telah menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk siasatan dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap individu berkenaan,” katanya di media sosial.
Menurut Cikgu Zack, dia tidak akan berdiam diri selepas ini khususnya terhadap pembuli siber.
“Saya antibuli, lebih-lebih lagi pembuli siber. Malaysia ada undang-undang. Saya lawan!
Katanya, memberi pandangan berilmiah tentang isu bahasa tidak ada masalah kerana akan memberikan warna kepada bidang itu sendiri.
“Tetapi jika ada yang cuba untuk menjatuhkan saya sebagai pejuang bahasa Melayu dengan membuka ruang kepada orang ramai menambah kecaman, saya tidak akan berdiam diri.
“Kita boleh membezakan antara kritikan membina, komen yang ingin menjatuhkan,” tambahnya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen menyokong tindakan yang diambil oleh Zack dan dianggap wajar bagi mempertahankan perkara betul. – BOOM!