Sejak malam semalam, klip pendek Ning Baizura menyampaikan lagu Awan Yang Terpilu tular di media sosial, namun ramai mengakui berasa janggal mendengar suara nyanyiannya.
Menyedari perkara itu, Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 47, tampil bersuara mempertahankan diri demi reputasinya.
“Saya telah membuat persembahan empat hari berturut-turut. Setiap malam sebanyak 20 buah lagu saya kena nyanyikan.
“Apatah lagi lagu Awan Terpilu ini akan buat saya sebak kerana terkenangkan arwah ayah yang tak pernah tengok saya menyanyi,” jelasnya.
Tambah Ning, peminat setianya semua tahu betapa lagu ciptaan Loloq dan Li Zhen itu sangat sentimental buat dirinya.
Malahan katanya, sesiapa yang menyanyi dalam keadaan sebak pasti sukar untuk keluarkan suara mereka.
“Individu yang tularkan klip tersebut sengaja mencari kelemahan dan mahu menjatuhkan reputasi saya. Sedangkan mereka tiada di tempat kejadian dan tak tahu apa-apa,” tegasnya.
Dia sempat berpesan, jika betul-betul mahu menilai nyanyiannya, silakan hadir menyaksikan persembahannya dan lihat dengan mata serta dengar dengan telinga sendiri. – BOOM!