Perkongsian video-video lucu oleh Shiha Zikir menerusi akaun media sosial kebelakangan ini ternyata mengundang tawa para pengikutnya.
Berkesempatan menemu bual penyanyi Aewo itu, Shiha memberitahu, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghiburkan peminat.
“Dalam keadaan sekarang, pastinya ramai yang berasa bosan dan tertekan.
“Jadi, daripada tak berbuat apa-apa, saya isi masa yang terluang dengan bermain Tiktok.
“Maka, terhasillah video seperti yang ditonton di media sosial saya,” jelas Shiha menceritakan bibit-bibit awal penerokaan aplikasi berkenaan.
Namun jelasnya, sebelum menghasilkan video, dia harus memikirkan konten sesuai untuk dikongsikan kepada umum.
“Seboleh-bolehnya, saya cuba elak daripada menghasilkan sesuatu yang disifatkan syok sendiri dan akhirnya kelihatan hambar.
“Sekurang-kurangnya, seleksi video yang dihasilkan itu beri manfaat, bukan sekadar boleh hilangkan bosan semata-mata,” ujarnya.
Turut berbakat sebagai pelawak, Shiha berharap gelagat lucu dan bersahajanya mampu menyalurkan tenaga yang positif, di samping medium untuk berhibur.
“Sesekali membadutkan diri apa salahnya?” selorohnya sambil disusuli ilai tawa.
Sementara itu, mengulas tentang kejayaan Aewo merangkul trofi Lagu Pop Asia Terbaik di InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles, Amerika Syarikat, Shiha akui dia seperti berada di awang-awangan.
“Setelah ditenangkan oleh kakitangan Todak Music, barulah saya sedar berita ini bukan mimpi.
“Ia merupakan pencapaian terbesar saya sejak menceburi bidang nyanyian,” beritahunya sekali gus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.