Pelakon handalan, Zahiril Adzim akui tidak kecewa menolak tawaran produksi Hollywood.
Tidak berfikir panjang, Zahiril berkata, tawaran tersebut ditolak sebaik sahaja membaca skrip yang menuntutnya melakonkan adegan ranjang.
“Saya pernah tolak tawaran casting itu beberapa tahun lepas, sudah lupa judulnya.
“Lepas saya baca skrip, belum apa-apa sudah ada babak atas katil. Jadi saya terus ucap selamat tinggal.
“Skrip itu menuntut saya dan pelakon wanita berbogel separuh badan.
“Tidak, tak boleh. Sebagai Muslim, saya takkan lakukannya,” tegasnya menetapkan prinsip ajaran Islam.
Jelas Zahiril lagi, walaupun mempunyai keinginan untuk melebarkan sayap ke pentas antarabangsa, namun dia tidak sama sekali membelakangkan hukum agama.
“Saya bukanlah mengejar sangat Hollywood, tetapi kalau diberi peluang, siapa yang tidak mahu?
“Memang sepatutnya seorang pelakon kena buat apa sahaja untuk karakter tetapi bergantung kepada pendirian pelakon,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zahiril bakal muncul menerusi filem arahan Hairul Azreen berjudul Ada Hantu 2 yang akan menjengah pawagam di seluruh negara bermula 15 September ini.
Selain Zahiril dan Hairul, Ada Hantu 2 turut dibintangi Shiqin Kamal, Nafiez Zaidi, Elvina Chua dan Rubini Sambanthan. – BOOM!