Menjadi impian setiap penyanyi di Malaysia, pastinya terdetik keinginan mahu menggengam trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) walaupun sekali seumur hidup.
Ini kerana, pengiktirafan diterima daripada AIM diibaratkan paling berprestij dan tertinggi bagi penggiat seni muzik tempatan.
Bagi penyanyi bersuara lunak merdu iaitu Liza Hanim, penantiannya selama 25 tahun sejak menceburi bidang nyanyian berakhir pada Ahad lalu sementelah merangkul dua trofi.
“Pada hari pertama saya bergelar penyanyi, saya dah tanamkan azam untuk menggenggam trofi unik berbentuk mikrofon ini.
“Lebih manis, malam ini saya bukan hanya menang satu trofi, malah dua trofi mikrofon ini sekali gus. Sesuatu yang tak dijangka!” ceritanya teruja saat ditemui pada sidang media usai majlis tamat.
Liza memenangi anugerah bagi kategori Vokal Terbaik Duo bergandingan bersama Shila Amzah dan juga Runut Bunyi Terbaik, kedua-duanya menerusi lagu duet mereka, Bahagiakan Dia.
Sementara itu, Liza menambah, momen memenangi trofi AIM pertamanya dirasakan bagai sebuah mimpi.
“25 tahun saya tunggu untuk pegang mikrofon ini (merujuk kepada trofi AIM). Mikrofon lain semua saya dah pegang, yang ini sahaja belum lagi. Kemenangan ini sangat istimewa kerana saya telah menunggu sekian lama untuk mendapat pengiktirafan di AIM.
“Tipulah kalau kata saya tak tunggu untuk menang AIM. Tetapi rasanya penantian saya selama suku abad ini berbaloi dengan kejayaan berganda malam ini,” katanya berkongsi kegembiraan.
Ditanya sama ada dia pernah berasa putus asa dengan AIM kerana namanya sebelum ini sering dicalonkan tetapi pulang dengan tangan kosong, kata Liza tipu andai rasa itu tidak pernah singgah di fikirannya.
“Sampai satu tahap saya sudah rasa bersyukur andai setakat tercalon antara yang terbaik kerana bukan sekejap penantian saya untuk meraih pengiktirafan ini.
“Namun kemenangan pada malam ini telah menebus kedahagaan saya yang mendambakan trofi ini,” ujarnya.
Sebagai rekod, sepanjang bergelar penyanyi, nama Liza pernah beberapa kali tercalon dalam AIM bagi kategori Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Wanita Terbaik (4 kali) dan Album Pop Terbaik (2 kali). – BOOM!