Nur Fazura mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menganjurkan Konsert Faztival Fazura 2022 yang mendapat sambutan hangat bertempat di Axiata Arena pada Ahad.
Dia yang juga seorang usahawan mengucapkan rasa syukur dan terharu atas sokongan padu diberikan kepadanya terutama buat pengunjung festival berkenaan.
“Terima kasih kerana hadir ke Konsert Faztival Fazura. Saya berasa sangat bersyukur dengan sambutan luar biasa ini dengan kehadiran peminat dan juga mereka yang memberikan sokongan,” katanya sambil tersenyum.
Pada malam itu juga, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu telah mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Books of Records.
Rekod tersebut adalah The Largest ‘Tudung Fazura’ Gathering in an Event dan The Largest Tudung Bawal in Malaysia.
Konsert yang berlangsung dengan meriah itu juga menampilkan persembahan nama-nama besar seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Istimewanya lagi, Faztival Fazura turut menjemput artis terkenal Indonesia, Mulan Jameela dan Ahmad Band hadir bagi menghiburkan peminat.
Fazura juga tidak ketinggalan tampil menyampaikan lagu-lagu popularnya secara medley dan diakhiri dengan gubahan semula lagu Jika Cinta Allah yang diiringi petikan gitar akustik oleh Ahmad Dhani.
Paling manis, Fattah turut muncul di pentas dengan memberikan sejambak bunga kepada isterinya dan menerima sorakan peminat.
Konsert ini berlangsung dengan sukses dan turut diberikan bayangan berkemungkinan Faztival Fazura 2023 bakal diadakan tahun hadapan. – BOOM!