Mempertaruhkan single berjudul Cinta Syurgaku, pendatang baharu industri muzik tempatan, Zareef Sein, tekad memacu karier nyanyiannya hingga mencapai satu tahap membanggakan.
Zareef, 21 atau Muhammad Zareef Hussein Anwar Hussein berkata, penglibatannya dalam bidang seni suara bermula kira-kira lapan tahun lalu.
Namun disebabkan terlalu mentah di kala usianya baru menginjak 13 tahun dan masih bersekolah, cubaan pertamanya itu terkandas.
“Pada tahun lalu, saya terus mencuba nasib dengan menyertai sebuah rancangan realiti TV iaitu Vokal Mania.
“Percaturan saya membuahkan hasil apabila mencipta kejutan menewaskan idola saya sendiri iaitu Aina Abdul.
“Kejayaan diraih menerusi program berkenaan membolehkan saya kini bergelar artis rakaman di bawah Warner Music Malaysia,” jelasnya.
Remaja itu juga memaklumkan, Cinta Syurgaku adalah karya nukilannya yang cuma dihasilkan dalam tempoh tiga jam sahaja.
“Selain itu, penghasilan single ini turut mendapat sentuhan komposer hebat, Audi Mok.
“Ia merupakan sebuah lagu cinta berentak balada yang mengisahkan pengalaman peribadi,” tambah Zareef.
Terdahulu, jejaka tinggi lampai itu sebelum ini adalah anggota kumpulan Outbreak di samping empat lagi ahli lain.
Pun begitu, setelah berbincang dengan wakil syarikat pengurusan, Zareef mengundur diri demi membuka jalan terhadap karier solonya.
“Tidak pernah timbul sebarang masalah antara kami berlima.
“Bahkan hubungan kami cukup rapat seperti adik-beradik.
Mereka amat menghormati keputusan saya untuk bergerak solo,” beritahu Zareef menjelaskan situasi sebenar.
Justeru, Zareef berharap lembaran baharu karier muziknya dapat berkembang sebaik mungkin.