Sekian lama memperjuangkan lagu berunsurkan irama asli, Noraniza Idris akui dia perlukan pelan strategi terbaik untuk kekal bertahan.
Mempertaruhkan karya terkini berkolaborasi dengan Bunga Isme menerusi single Intan Payung, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani itu nyata gembira menerima respons positif peminat.
“Rasanya sudah agak lama lagu-lagu nyanyian saya tidak mendapat sambutan sehangat ini.
“Jadi apabila menyaksikan lagu Intan Payung ini diterima baik, saya rasa sangat gembira.
“Penerimaan memberangsangkan sebegini amat diperlukan bagi menyuntik semangat dan sokongan berterusan terhadap perjuangan memartabatkan irama Malaysia,” katanya penuh teruja.
Mengulas tentang gandingannya dengan Bunga, Kak Ani mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Warner Music Malaysia.
“Tawaran menyanyikan lagu ini sebenarnya hadir sebelum saya menyertai GV lagi.
“Ketika bersaing dalam pertandingan itu, pada masa sama saya cuba memperuntukkan masa menyiapkan lagu ini,” ujar finalis Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu.
Sementara itu, berbicara tentang penghasilan lagu solo pula, Kak Ani menyatakan dia enggan terburu-buru.
“Sejurus GV7 berakhir, memang ramai menantikan single solo terbaharu daripada saya.
“Tetapi sebelum itu, saya dan pihak pengurusan harus merancang betul-betul agar dapat mempersembahkan sebuah karya yang menepati cita rasa semua.
“Kalau ikut kemahuan peribadi, takut nanti orang kata saya syok sendiri pula.
“Jadi lebih baik saya dengar nasihat mereka yang lebih arif tentang soal promosi dan pemasaran,” beritahunya di samping berharap peminatnya sabar menanti.