Selepas melalui pelbagai dugaan bersama, pelakon Syafiq Kyle mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya yang juga pelakon, Mimi Lana pada tahun depan.
Syafiq, 30, memberitahu sudah bersedia untuk bergelar seorang suami pada majlis pernikahan yang dijangkan dilangsungkan pada tahun depan.
“Sebenarnya, saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga pada usia begini.
“Mungkin kami tidak akan adakan majlis pertunangan kerana saya mahu terus bernikah dan melunaskan perkara wajib seperti yang dituntut agama,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menafikan khabar angin yang mengatakan mereka bakal bernikah sekitar akhir tahun ini.
“Bagaimana nak nikah pada hujung tahun jika tiada persiapan dilakukan? Saya belum ‘tempah’ tok kadi pun untuk majlis tersebut.
“Setakat ini kami masih belum ada tarikh yang tetap kerana perlu menyelesaikan beberapa komitmen kerjaya seni terlebih dahulu.
“Insya-Allah, kami tidak akan berahsia apabila tarikh sudah ditetapkan nanti,” ujarnya.
Untuk info, pasangan popular tersebut mula berkongsi tentang hubungan istimewa mereka sekitar tahun 2019.
Bagaimanapun, sekitar Mei 2020, hubungan mereka dikatakan putus sebelum kembali terjalin beberapa bulan kemudian. – BOOM!
Sumber: Kosmo!