Berdarah kacukan India dan Cina secara tidak langsung membuatkan ketrampilan bintang remaja, Vanessa Reynauld kelihatan unik dan berbeza.
Vanessa, 21 atau Vanessa Ben Reynauld ketika ditemu bual baru-baru ini memberitahu, imej rambut keriting kembang seakan-akan milik kaum Negrito atau Negro sering menjadi perbualan dalam kalangan warganet.
“Pernah sebelum ini, terdapat individu meninggalkan komen bersifat rasis di akaun media sosial saya.
“Dia menuduh saya meniru imej orang Negro. Bagi saya tuduhan tersebut amat melampau dan biadab!” tegasnya yang ternyata berang membaca komen lelaki berkenaan.
Malah, pada masa sama, Vanessa yang semakin popular menerusi single Rindu Awak Separuh Nyawa, duet bersama Naqiu itu berasa bangga dengan paras rupanya.
“Saya memang dilahirkan sebegini dan tidak akan sesekali menukar penampilan hanya untuk memuaskan kehendak orang lain yang tidak dikenali.
“Kalau tak suka, jangan tengok!” katanya memberi amaran terhadap kritikan berbaur perkauman.
Bercerita tentang lagu duetnya, Vanessa pada peringkat awal seperti tidak percaya dapat bergandingan dengan Naqiu.
“Tawaran untuk berduet ini datang secara tiba-tiba tanpa ada perancangan awal.
“Pihak pengurusan cuma memaklumkan beberapa hari sebelum proses rakaman dijalankan,” katanya teruja sementelah dapat berpadu suara dengan seorang penyanyi yang cukup diminati.
Vanessa juga memberitahu, kerjasamanya dengan juara Gegar Vaganza musim ketujuh itu berjalan lancar walaupun lagu runut bunyi (OST) drama Rindu Awak Separuh Nyawa tersebut dibuat dalam tempoh singkat.