Jika dahulu memulakan titik pengenalan dengan lagu Bahasa Inggeris ‘My World Too’ dan versi Bahasa Malaysianya ‘Bebas Jadi Diri Ku’, Fatia kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Bait-Bait Rasa.
Lagu yang diterbit, disusun, dicipta dan ditulis oleh komposer berbakat besar nan tersohor Ezra Kong itu merupakan sesuatu yang jauh berbeza dari segi konsep muzik berbanding single sulung Fatia dahulu.
“Ia sangat berbeza daripada lagu pertama saya, ‘My World Too’. Bukan saja dari aspek melodi dan tema yang lebih lembut serta feminin, tetapi juga dari gaya vokal dan proses rakaman.
“Saya teruja menceburi genre muzik yang berlainan dan tidak sabar ingin melihat reaksi peminat setia saya.
“Saya juga berharap kreativiti ini akan menarik perhatian peminat baharu juga,” katanya.
Sungguhpun kisahnya menceritakan tentang cinta yang tidak berbalas, namun Fatia memberitahu yang dia belum pernah merasai perasaan tersebut.
“Lirik lagu ini menangkap perhatian saya dengan serta-merta saat mendengar demo yang dikongsi oleh Ezra.
“Apatah lagi dalam hidup saya setakat ini saya tidak pernah jatuh cinta. Liriknya seperti ada maksud yang lebih mendalam.
“Mungkin, ia sebagai satu pengajaran buat saya apabila saya betul-betul menghadapi situasi itu nanti,” ujarnya.
Menurut Fatia semasa memilih lagu ini dirinya telah mendengar banyak demo lagu berbahasa Melayu namun lagu ini yang paling digemari. – BOOM!