Kebelakangan ini, penyanyi Tajul Ariff semakin rancak mendapat tawaran dalam bidang lakonan.
Pemilik nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari, 24, itu menjelaskan, walaupun rezeki lakonannya semakin murah, namun itu bukanlah alasan untuknya menerima tawaran tersebut secara membuta tuli.
Jelasnya lagi, demi menjaga hati isteri dia memastikan setiap watak yang dipilih tidak keterlaluan.
“Mengenai isu penjagaan batas, saya cuba untuk elakkan daripada bersentuhan dan sebagainya, tetapi kalau diminta, saya akan fikirkan dulu.
“Kalau boleh buat saya buat, kalau tidak saya tolak dengan cara baik,” katanya.
Sekitar empat tahun yang lalu tajul dan pasangannya, Nurul Shamieza Eddie telah mendirikan rumah tangga dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adriana Carisa dan Adriana Rifqy.
“Isteri saya tidak akan berkata apa sebab dia seorang yang profesional tapi kita faham sendiri,” jelasnya.
Di samping itu, Tajul turut menjelaskan bahawa keputusannya untuk berbuat sedemikian bukan kerana takutkan isteri tetapi memahami perasaan cemburu pasangan apabila melihatnya bermesra dengan pelakon wanita lain.
“Bukan takut, tapi cemburu tu pasti akan ada walau sedikit.
“Saya cuba hormat perasaan dia, sebab dia pun akan tengok lakonan saya, saya akan rasa tak sedap hati kalau dia terasa,” katanya.
Pun begitu, Tajul mengakui isterinya seorang yang sangat memahami dengan budaya kerjanya, malah tidak meletakkan apa-apa syarat selagi dia tahu menjaga batas.
“Dia okay saja dengan karier lakonan saya tapi dia ingatkan agar jaga diri dan batas.
“Insya-Allah tiada apa-apa masalah,” kata Tajul berseloroh.
Untuk makluman, Tajul memegang watak sebagai penghantar makanan dalam drama Sorry Naik Lori, satu watak yang dekat dengan masyarakat sementelah negara dilanda pandemik.
Tambahan pula, drama berkenaan merupakan projek keenam sejak dia memulakan karier dalalm bidang lakonan.
Dalam pada itu, Sorry Naik Lori yang akan ditayangkan pada 4 November 2022 di platform penstriman iQIYI turut dibintangi oleh Nazim Othman, Nafiz Muaz dan Asha Zainul. – BOOM!