Penceramah selebriti, Da’i Syed menafikan sudah melangsungkan majlis pertunangan dengan pengacara TV Alhijrah, Nurulhana Ismail baru-baru ini.
Penyanyi lagu Albi Nadak itu sebaliknya menjelaskan, ia cuma sesi pertemuan antara kedua-dua keluarga untuk berkenalan satu sama lain.
“Ia adalah majlis pertemuan dua buah keluarga,” katanya.
Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail berkata, dia sebenarnya tidak selesa untuk berkongsi tentang perkara itu.
Namun, dia memohon agar orang ramai mendoakan perkara terbaik untuk dirinya.
“Jika ia dianggap majlis pertunangan, doakan yang terbaik. Tetapi ia sebenarnya sesi pertemuan dua keluarga.
“Kedua-dua keluarga baru saling kenal, kalau sudah direstui dan menuju ke arah yang baik, kami akan beritahu. Cuma buat masa sekarang, saya tidak boleh cakap apa-apa sebab takut nanti tak jadi.
“Kami akan maklumkan sebarang perkembangan. Insya-Allah, mohon doa yang baik-baik,” pintanya.
Mengulas kesediaannya untuk berkahwin, jejaka berusia 27 tahun itu mengiyakannya.
“Insya-Allah saya sudah bersedia untuk berkahwin, cuma sekarang kami mahu kenal lebih dekat,” tambahnya.
Syed ditemui di Majlis Malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung kelmarin.
Terdahulu pada 27 Oktober baru-baru ini, pelakon terkenal, Datin Seri Umie Aida memuat naik foto Syed bersama Nurulhana di laman sosial, sekali gus menimbulkan spekulasi tersebut.
Bagaimanapun, hantaran itu dipadamkan oleh Umie beberapa minit selepas dimuat naik. – BOOM!