Pelakon Cinta Hilang Kata iaitu Hariz Hamdan berpendapat isu artis lelaki menanggalkan baju dalam naskhah lakonan mereka ada perkara kecil yang tidak perlu dipanjangkan.
Jelas bintang baharu berusia 20 tahun itu, menuruti arahan pengarah atau skrip adalah sebahagian daripada tanggungjawab pelakon.
“Sewajarnya untuk seorang pelakon, apa yang pengarah atau skrip minta, saya akan bagi saja.
“Asalkan permintaan tersebut tidak keterlaluan dan melebihi batas, insya-Allah saya akan pertimbang untuk lakukannya.
“Jika disuruh buka baju, tiada masalah untuk saya tunaikan selagi ia bersesuaian dengan babak dan watak,” jawabnya.
Pun begitu, sebagai manusia, Haris berpegang kepada hak asasi yang dimilikinya untuk menolak sesuatu permintaan.
“Setiap daripada kita ada hak masing-masing. Maruah perlu dijaga dan dipertahankan. Ia sesuatu yang tidak boleh dikompromi jika dipaksa oleh sesiapa pun,” tegasnya.
Hariz berkata demikian sewaktu sesi fotografi yang diadakan di DXN Cyberville, Cyberjaya baru-baru ini bersama Jasper Supayah, Ikhram Juhari dan Amri Aziz.
DXN Cyberville merupakan ibu pejabat bagi DXN Marketing, sebuah syarikat pemasaran berperingkat (MLM) yang menghasilkan produk kesihatan berasaskan ganoderma. – BOOM!