Pelakon meningkat naik, Nadhir Nasar berpendapat, perbuatan mencium pipi sesama kawan lelaki adalah sesuatu yang normal.
Jelas Nadhir atau nama penuhnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, stigma segelintir masyarakat terlalu disempitkan dengan golongan homoseksual, sehinggakan aksi mesra sesama sahabat lelaki pun jadi pertikaian.
“Perkara ini sangatlah sensitif. Kalau orang tidak terdedah dengan kelompok itu, perkara itu sebenarnya biasa sahaja dalam konteks persahabatan.
“Misalnya budaya lelaki Bangladesh, kemesraan yang dipaparkan antara mereka seperti mencium pipi itu adalah perkara lazim.
“Tiada apa pun, kenapa nak tengok dan fikir negatif? Kenapa tidak ke arah positif,” jelasnya ketika dihubungi.
Terdahulu, seorang pengguna Instagram mengulang siar video kandungan milik pelakon Jabir Meftah di TikTok dengan melabelkan individu-individu yang kelihatan di dalamnya adalah golongan kunyit atau homoseksual.
Menerusi video tersebut, Nadhir bersama rakan-rakannya yang juga peserta program realiti dilihat sedang melakukan aktiviti di sebuah taman tema air. – BOOM!