Tidak seperti kebanyakan pendatang baharu, dalam masa yang singkat, Ikhram Juhari mudah menempatkan diri di arena hiburan tempatan sebagai pelakon.
Mungkin disebabkan memiliki wajah mirip Zul Ariffin, dia bagaimanapun lebih selesa andai bakatnya mampu berdiri sendiri tanpa dibayangi aktor berkenaan.
Menyentuh sisi karier selaku model yang sinonim dengan imej seksi berbadan sasa, Ikhram menolak untuk menayang susuk tubuhnya di media sosial.
“Terserah, itu hak masing-masing kalau nak tunjuk. Saya cuma akan lakukan atas tuntutan watak sahaja,” tegasnya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini, Ikhram atau Mohamad Noor Ikhram Bin Juhari, 29, menjelaskan, karier lakonannya dianggap lebih mencabar berbanding bidang komersial.
“Sebenarnya saya mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri. Maklum sajalah, daripada pelakon iklan ke ruang lebih besar bukan sesuatu yang mudah.
“Maksud saya, iklan hanya memainkan memek atau reaksi muka, tetapi berlakon di layar televisyen jauh berbeza, memerlukan pemahaman jalan cerita yang lebih mendalam,” jelasnya yang mula aktif sejak 2015 itu.
Semakin mendapat tempat, bakat lakonan Ikhram dilihat menyerlah menerusi drama rantaian Love Elsa sementelah diterima baik oleh warga industri dan penonton.
“Kali pertama berlakon di bawah arahan Michael Ang, beliau seorang yang tegas dan banyak memberikan input untuk mengembangkan watak.
“Begitu juga dengan Zul, senang dibawa berbincang demi menghidupkan watak,” katanya memberi pandangan.
Dalam perkembangan lain, Ikhram bakal menjayakan drama bersiri dengan judul Mr. VIP yang dijadualkan menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Kelantan dan Sabah.