Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dihadapi oleh seorang pemandu bas persiaran, Mohd Feross Md Moris apabila menghidapi penyakit kulit kronik.
Disahkan menderita penyakit ulser kulit sehingga menampakkan sebahagian isi kaki, Feross, 53, buntu kerana sehingga kini penyakit dihidapinya tidak pernah sembuh.
Menurut adiknya, Mohd Faridz, 51, abangnya telah berusaha mendapatkan rawatan secara moden mahupun tradisonal, namun masih belum menemui penawar.
“Doktor di hospital beritahu tidak ramai penghidap penyakit kulit ini, memang boleh sembuh tetapi ambil masa yang lama.
“Sekarang ni dah lebih tujuh tahun sampaikan abang saya tidak boleh berjalan,” ujar Faridz.
Ceritanya, kaki Feross mula terasa sakit sekitar tujuh tahun lalu ketika menekan pedal minyak bas yang dipandunya.
“Mula-mula dia rasa ada bengkak seperti bisul kemudian melecet sampailah sekarang tidak boleh berjalan.
“Kami buntu kerana doktor katakan penyakitnya bukan disebabkan kencing manis. Memandangkan lukanya tidak sembuh sehingga mengeluarkan air, abang terpaksa mencuci dan membalut kaki setiap hari.
“Sebelum ini pernah hampir pulih, namun kulit baharu itu akhirnya terkopek sendiri dan kembali menampakkan bahagian isi kaki yang merah menyala,” tuturnya lagi.
Tambah Faridz, penyakit kulit tersebut telah menyukarkan pergerakkan Feross sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang setiap hari.
“Keluarga sudah habis ikhtiar, segala krim telah dipakai tetapi masih juga begitu. Jika ke hospital pun doktor hanya mencuci bahagian kaki yang terlihat isi saja,” kata Faridz hampa.
Lebih menyukarkan, Feross yang merupakan duda tanpa anak kini dikategorikan hilang upaya untuk bekerja.
Dia kini tinggal di Taman Sri Kerayong, Klang, Selangor bersama seorang ibu yang uzur dan adik yang merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sakit sawan.
Pada masa sama, Faridz turut akui selain kebuntuan ikhtiar mencari penawar, mereka sekeluarga juga kehabisan sumber kewangan untuk menaggung kos rawatan yang kian meningkat kerana luka makin melarat.
Justeru, jika ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban, sumbangan boleh disalurkan ke akaun BSN (1011241000014618) milik ibunya, Jainap Husien. – JURNAL