Pelakon senior, Fauziah Nawi terkilan apabila mengetahui terdapat artis yang bangga mengatakan mereka tetap akan berlakon meski tidak mengambil vaksin.
Mesra disapa sebagai Ibu, katanya tindakan tersebut hanya akan menyusahkan pelbagai pihak yang sekian lama menunggu peluang memulakan penggambaran setelah berbulan-bulan hilang mata pencarian.
“Alhamdulillah, sekarang sudah boleh shooting. PM (pengurus produksi) pun bertungkus-lumus memastikan proses penggambaran lancar.
“Terpulanglah kalau anda tak nak ambil vaksin, tetapi tolong jangan degil dan sombong kerana ramai yang terseksa gara-gara tidak dapat bekerja,” memetik katanya dalam video tular di media sosial.
Keluhan pelakon versatil itu didengari ekoran kononnya terdapat syarikat produksi membenarkan pelakon atau kru hadir ke set penggambaran walaupun tanpa vaksin.
Tambahnya, produksi wajib patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Turut bersuara adalah pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin atau Ijat yang menyelar sikap angkuh segelintir artis tidak bertanggungjawab berkenaan.
Justeru, Shahrulezad meminta rakan penerbit serta pihak stesen televisyen memandang serius terhadap hal dibangkitkan itu terutama ketika berurusan dengan golongan pendek akal (anti vaksin).
Malah dia juga menyarankan agar membuat laporan kepada produser sekiranya dapat tahu ada individu tidak divaksin berada di lokasi penggambaran.
“Kalau produser pun bersubahat, laporkan terus kepada Finas atau pihak berwajib termasuk stesen televisyen.
“Jangan disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Silap-silap, kerajaan akan tarik balik kelonggaran diberikan ini gara-gara kebodohan seorang dua,” tulis Ijat pada ruangan kapsyen di Instagram.