Penulis novel serta penerbit terkemuka, Siti Rosmizah Ismail, 51, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan positif Covid-19.
Berita itu dikongsikan menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Ahad.
“Mohon sahabat-sahabat serta semua yang mengenali Siti Rosmizah sama-sama untuk doakan dia kembali pulih daripada Covid-19.
“Dia kini berada di ICU dan dalam keadaan kritikal. Mohon doakan dia ya,” tulis kenyataan di ruangan kapsyen.
Menerusi ruangan komen, beberapa selebriti turut meluahkan simpati serta mengharapkan Rosmizah akan kembali pulih seperti sedia kala.
“Allahuakbar, semoga kak Siti dipanjangkan umurnya dan diberikan kesembuhan seperti sedia kala secepat mungkin,” komen Jasmin Hamid.
“Ya Allah, permudahkan segalanya, berilah kesembuhan padanya,” titip Zarina Zainuddin.
“Semoga diberi kesihatan, amin,” komen Erry Putra.
Rosmizah terkenal dengan novel tulisannya seperti 7 Hari Mencintaiku dan Jangan Menangis Cinta yang kemudiannya diadaptasi ke naskhah drama. – BOOM!