Penyanyi popular, Khai Bahar mengakui perubahan bentuk badannya yang semakin sado (sasa) adalah disebabkan rutinnya ke gim sejak beberapa bulan lalu.
Khai ketika ditemui BOOM! berkata, dia ke gim untuk menambah baik penampilan diri selain untuk mengekalkan stamina ketika menyanyi.
Menurut Khai, dia menyedari stamina ketika menyanyi semakin berkurangan tambahan lagi selepas dijangkiti COVID-19 pada tahun lalu.
“Sejak dijangkiti COVID-19 saya rasa cepat penat ketika menyanyi. Kadang-kadang tu rasa macam nafas tak sampai bila menyanyi. Itu antara sebab saya ke gim, untuk kembalikan stamina saya.
“Saya akan luangkan masa dua jam sehari bersama personal trainer (pelatih peribadi) dan jenis latihan saya lebih kepada stamina. Saya beritahu ‘coach’ saya mahu dapatkan kembali stamina macam dulu ketika membuat persembahan.
“Selain itu saya juga menjaga pemakanan untuk mengekalkan bentuk tubuh dan berat badan ideal supaya ‘nampak elok’ sebab kerja macam saya ni kan kena jumpa ramai orang,” seloroh Khai ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duetnya bersama Nabila Razali, Selagi Ku Ada, pada Rabu.
Dalam pada itu, Khai ketika diminta mengulas mengenai Nabila Razali, menolak dakwaan mengenai rakan duetnya yang dikatakan tidak boleh menyanyi secara langsung.
“Dakwaan tersebut tidak benar. Anda sendiri sudah dengar kami menyanyi bersama tadi. Sudah banyak peningkatan dalam nyanyian Nabila, dia seorang yang rajin dan tidak pernah berputus asa.
“Sebagai seorang sahabat, saya kagum dengan Nabila yang tidak pernah putus semangat walaupun orang kata dia macam-macam. Semangat dia kuat, sungguhpun begitu, kita ini sebagai sahabat dalam landasan yang sama, kenalah bagi semangat juga jangan merendah-rendahkan sesama kita,” katanya. – BOOM!