Penyanyi Fyna Jebat enggan mengulas lanjut insiden diserang madunya, Datin Zalina Zaini di sebuah restoran mamak di Shah Alam pada 23 Januari lalu.
Fyna atau Nur Syafinaz Jebat, 30, berkata, dia mahu memberikan fokus kepada Famili Duo dan menyerahkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Fyna berkata, fokusnya terhadap Famili Duo tidak terganggu meskipun banyak kontroversi melibatkan dirinya sejak muncul dalam pertandingan itu.
“Tiada apa yang boleh saya kongsikan, biarlah saya serahkan kepada pihak berwajib. Itu sahaja.
“Saya tidak terganggu. Saya fokus dengan pertandingan Famili Duo sebab kakak saya banyak berhabis dan pasukan kami juga dah banyak bertungkus lumus untuk memberikan yang terbaik.
“Saya terlalu sayangkan Famili Duo, jadi saya akan kekal fokus untuk memberikan persembahan sepenuh hati saban minggu,” katanya.
Fyna berkata demikian ketika ditemui selepas selepas persembahan program Famili Duo minggu ketujuh yang diadakan di Studio 2, Sri Pentas Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada malam Ahad.
Terdahulu, Fyna mengaku bahahwa dia sudah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak terkenal negara era 80 hingga 90-an iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan.
Enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinan tersebut, Fyna bagaimanapun memohon orang ramai mendoakan kebahagian mereka.
Susulan itu, dia juga terpalit dengan kontroversi selepas didakwa terlibat dengan pergaduhan bersama madunya selepas persembahan Famili Duo minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan berlaku pergaduhan kecil melibatkan dua isteri kepada bekas bintang bola sepak terkenal berkenaan.
Iqbal juga memberitahu isteri pertama Zainal dikatakan menarik rambut madunya hingga membawa kepada pergaduhan dan pertengkaran di luar premis tersebut. – BOOM!
Sumber: mStar Online