Pelakon Yana Samsudin memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat kerana terpaksa menangguhkan semua kerja-kerja yang melibatkannya, apabila dimasukkan ke hospital malam tadi (Rabu).
Menerusi hantaran terbaru di Instagram Yana yang dikemas kini suaminya, Fadzil Zahari kelihatan pelakon tersebut sedang terbaring di atas katil.
Dalam ruangan kapsyen Fadzil turut menyatakan kebimbangannya terhadap kesihatan Yana dan memberitahu isterinya itu mungkin akan dikuarantin beberapa hari jika dijangkiti Influenza.
“Assalamualaikum, saya nak maklum yang Yana warded malam ni, badannya lemah selepas dua demam teruk.
“Belum dapat keputusan doktor lagi. Kalau influenza mungkin kena kuarantin 4-5 hari. Harap semua dapat doakan kesembuhan Yana insya-Allah,” katanya.
Fadzil turut membuat permohonan maaf kerana terpaksa menangguhkan beberapa kerjasama dengan pihak-pihak seperti Starvendors, FoodStival dan Jelajah Suria kerana keuzuran Yana.
“Kami nak mohon maaf buat semua yang ada bersangkutan kerja terpaksa postpone atau kemungkinan tidak dapat hadir seperti #FoodStival #StarvendorsJohor JB dan #JelajahSuriaAnggunCottonCollection,” katanya.
Sementara itu Fadzil ketika diubungi BOOM berkata, Yana dikejarkan ke hospital kerana demam panas dan keadaannya lemah.
“Selepas dua hari demam keadaan dia nampak teruk, dan tadi saya paksa juga dia ke hospital. Bila sampai sini, doktor terus suruh masuk wad,” ujarnya.
Dalam pada itu Fadzil mengesahkan Yana dijangkiti Influenza B dan akan dikuarantin di hospital selama beberapa hari.
“Doktor sudah sahkan Yana dijangkiti Influenza B+ dan akan dikuarantin beberapa hari. Cuma berapa lama tu saya tak pasti. Saya pun tidak boleh berada di hospital kerana itu.
“Setakat ini saya dan anak-anak berada dalam keadaan baik-baik saja,” katanya. – BOOM!