Ratu rock legenda negara, Ella Aminuddin menyangkal dakwaan sengaja mencetus gimik sebelum pengumuman konsertnya baru-baru ini.
Ella berkata dia cuma mahu berehat daripada platform media sosial buat seketika.
“Ella maklum ramai yang tertanya-tanya apa yang telah berlaku dengan postingan sebegitu di Instagram (IG) bukan?
“Sebenarnya Ella Cuma berehat seketika dari media sosial dan kini kembali dan seterusnya berkongsi pada semua tentang rencana konsert Ella 35 Tahun yang akan berlangsung akan datang,” katanya.
Terdahulu, tindakan Ella meninggalkan hanya satu posting di IG dengan kapsyen “Terima kasih untuk 35 tahun” membuatkan ramai yang tertanya-tanya.
Selain merungkai spekulasi, Ella ketika sidang media baru-baru ini turut mengumumkan tentang konsert ‘Jilid Akhir: Ella Puteri Kota’ bersempena dengan penglibatan 35 tahunnya dalam industri hiburan tanah air.
“Saya dedikasikan buat semua peminat yang telah setia menyokong perjalanan seni saya selama ini, tiada kata penghargaan yang dapat tandingi sokongan kalian semua.
“Sekalipun ini merupakan jilid akhir konsert solo saya dalam skala besar sepanjang 35 tahun ini, namun saya percaya ia hanyalah permulaan baharu bagi pengembaraan Ella yang seterusnya,” kata pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin.
Konsert anjuran Hitman Solutions bersama pengurusan Ella, RockQueen direncanakan bakal berlangsung pada 10 Jun ini bermula jam 8:00 malam di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Konsert ini merupakan peluang terbaik buat peminat Ella yang sudah lama merindui menyaksikan aksi lincah dan bertenaga Ratu Rock kesayangan tanah air.
“Ella berdoa agar semuanya berjalan lancar dan seterusnya dapat menghiburkan jangkaan 9,000 orang penonton yang akan hadir untuk ‘rock & roll’ istimewa bersama saya,” katanya teruja.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Encik Rohit Rampal menganggap pertemuan dengan Ratu Rock negara sebagai satu penghargaan.
“Peluang bekerjasama dengan beliau, Ella, adalah ratu yang bertakhta bukan sahaja di hati peminat muzik rock tempatan bahkan di rantau Asia Tenggara, dan menariknya saya juga.
“Lagu yang telah membuka mata saya iaitu ‘Standing In The Eyes Of The World’ membuatkan saya terpaku hingga sekarang, jadi saya menjemput kesemua peminat untuk hadir menggegarkan ruang Arena Axiata pada 10 Jun nanti dan sama-sama kita berhibur,” katanya.
Tiket akan dijual bermula 13 Mac ini bermula jam 12:00 tengahari di www.hitmanlive.com. – BOOM!