Selepas beberapa kali tidak hadir ke mahkamah, pelakon, Muhammad Afiq Muiz, 31, tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Afiq tampil sendirian pada prosiding permohonan tuntutan cerai secara fasakh oleh isterinya, Nur Aaiea Mahdeya, 32, atau Pachara.
Prosiding pada hari ini membabitkan keterangan daripada dua saksi mewakili Pachara.
Afiq ketika dikerumuni wartawan sebaik tiba, bagaimanapun enggan memberi komen.
“Buat masa sekarang, saya tidak boleh beri komen,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga secara baik, pelakon drama Air Mata Syurga itu menyerahkan kepada mahkamah.
BACA: Afiq Muiz Dakwa Diduakan – “Isteri Kalau Baik Tak Apa Juga, Ni Perangai Macam Iblis!”
“Kita tunggu keputusan mahkamah,” katanya tenang.
Sementara itu, Pachara yang tiba lebih awal, ditemani dua saksi memohon doa yang baik agar prosiding lancar.
“Tolong doakan agar semuanya lancar.
“Jika dia tidak hadir sekali pun, prosiding berjalan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Pachara, Suriati Ab Ghani berkata, kehadiran Afiq boleh melambatkan proses tuntutan fasakh jika defendan tidak bersetuju dengan kemahuan isterinya.
“Kalau dia datang, ia akan melambatkan proses keterangan saksi pada hari ini kerana prosesnya akan berpatah balik ke belakang.
“Hari ini adalah sesi keterangan saksi untuk prosedur tuntutan fasakh. Sekiranya dia bersetuju dan mengaku tidak memberi nafkah untuk berapa tahun, bolehlah kita minta untuk fasakh.
“Kalau dia ingin memberi keterangan dan tidak bersetuju dengan tuntutan Panchara, maka perlu masuk ke pembelaan bertulis pula,” katanya.
Tambah Suriati, proses tuntutan fasakh ini berkemungkinan dapat diselesaikan menjelang bulan depan.
“Kalau dia tak datang, Insya-Allah, bulan Mei nanti kes sudah boleh selesai kerana sesi hari ini tidak membabitkan dia, lagi pun sebelum ini, dia pernah keluarkan kenyataan untuk selesaikan secara baik,” katanya.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.
BACA: Tak Tahan Ditampar, Ditendang Dan Ditumbuk, Isteri Afiq Muiz Nekad Buat Tuntutan Fasakh
Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis berhubung dakwaan isterinya yang dianggap fitnah.
Afiq dilapor menyerahkan kepada peguam untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul dilemparkan wanita terbabit.
Sebelum ini, Pachara yang berasal dari Ranau, Sabah memuat naik kenyataan dalam Facebook (FB) dan TikTok mendakwa Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki dan jarinya patah.
Kenyataan itu mendapat komen balas adik Afiq, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam media. – BOOM!
Sumber: BERITA HARIAN