Ibu kepada penyanyi Aiman Tino iaitu Hazelina Mat Jalil membuat laporan polis bagi melindungi anaknya terhadap ugutan bunuh diri yang diterima daripada seorang peminat fanatik.
Hazelina atau mesra dipanggil Riena berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor menandakan mereka serius, tengah hari semalam.
BACA: [V] Hampir Empat Tahun Jalankan Bisnes Bersama, Aiman Tino Sah Peristerikan Syarah Haifa
“Ada seorang peminat fanatik berusia dalam 20-an menghantar mesej untuk menjadi isteri kedua kepada Aiman.
“Untuk makluman, kami pernah membawa gadis tersebut berjumpa dengan Aiman dan kami ada memberi nombor telefon Aiman selepas diminta.
“Bagaimanapun, dia telah menyebarkan nombor telefon Aiman kepada rakannya. Saya sudah kerap dimaklumkan mengenai gangguan ini menerusi kelab peminat, Aiman Tino Fan Club.
“Gadis ini mahu membunuh diri jika tidak dapat menjadi isteri Aiman.
“Jadi, kami buat laporan polis kerana takut ada kes bunuh diri dan orang luar menyalahkan Aiman. Saya mahu melindungi anak saya,” katanya.
Kata Riena, gangguan gadis itu sudah berlanjutan selama antara tiga hingga empat tahun dan keluarganya tidak boleh bertahan dengan sikap biadapnya itu.
“Saya tidak pernah nak biadap dengan peminat Aiman, tetapi gangguan ini melampau. Kakaknya, Fara Hezel dan adik-beradik lain turut diganggu.
“Isteri Aiman, Che Syarah Haifa Che Isa pun diganggu.
“Malah, gadis ini membuat akaun palsu dan pernah menyamar sebagai bapanya dan menegur Aiman kenapa tidak melayan anaknya,” jelas Riena di entri Instagram.
Justeru, Riena berharap, tiada lagi gangguan diterima daripada peminat wanita itu selepas tindakan serius diambil.
“Saya mahukan keluarganya tahu sebab selama ini, peminat ini menggunakan telefon ibu bapanya. Jadi, saya harapkan tiada lagi gangguan selepas kami mengambil tindakan serius ini,” katanya.
Terdahulu, Riena memuat naik pendedahan dalam Instagram (IG) mengenai peminat wanita yang mengganggu dan mengugut mahu membunuh diri sekiranya permintaan tidak dilayan.
“Sesiapa boleh cari budak ini tak, tolong nasihatkan dia, sudah melampau sangat. Saya boleh buat laporan polis, tetapi masih berfikir panjang lagi.
“Bukan di sini sahaja dia mesej, Fara Hezel juga diganggu walau disekat berapa kali, dia tetap buat akaun baru. Saya sudah banyak bersabar sebenarnya.
“Haruskah saya berlembut lagi? Kalau mati nanti Aiman pulak disalahkan, maaf sudah seribu kali maaf.
“Tetap juga merapu, keluarga dia terbaca tolong nasihatkan dia. Nak jadi isteri kedua bagai seram sejuk baca ayat-ayat dia ini.
“Saya kongsi secebis sahaja dan baru pagi ini (semalam) saya terima,” katanya. – BOOM!