Semalam, suami kepada Allahyarham Siti Sarah iaitu Shuib telah melancarkan single baharu berjudul Sampai Tua di saluran YouTube miliknya.
Karya ciptaan Aidit Alfian sementara lirik tulisan Ad Samad itu kedengaran padan dengan keupayaan vokal Shuib yang tenang mengalunkannya dalam nada penuh syahdu.
Bait-bait dihasilkan juga amat menyentuh jiwa, diiringi melodi indah yang digubah bagi mengimbau kisah percintaan merpati dua sejoli itu.
Bagaikan menyelami dasar hati Shuib, senikata terjemahan Ad meniup roh ke dalam naskhah Sampai Tua hingga mampu mengundang sebak.
“Salam Jumaat, pukul 2 petang ini, video muzik Sampai Tua akan keluar di YouTube Shuib Channel.
“Penantian hampir 10 tahun, Allah Maha Perancang. Sila tonton dan selamat melayan,” tulis Shuib di laman Instagram mengingatkan para pengikutnya.
Sejak empat hari lalu, Shuib mula membuat kiraan turun bagi menghitung detik pelancaran lagu tersebut.
“Dinda, kau kini kasih di syurga, walaupun dah berjanji setia, cerita kita tak sempat tua, Dinda menanti di pintu syurga,” antara rangkap yang menusuk kalbu.
Berdurasi selama 3 minit 39 saat, klip dipersembahkan menerusi teknik lukisan animasi karikatur bagi menggambarkan momen manis Shuib dan Sarah di sisi anak-anak.
Sehingga saat artikel ini diterbitkan, video muzik Sampai Tua telah ditonton sebanyak 80,000 kali dalam tempoh masa kurang sehari usai dimuat naik.
Sekadar info, Shuib merupakan penulis lirik untuk lagu Semakin dendangan Sarah yang mara ke Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) pada 2019.