Tidak dinafikan, terdapat segelintir pelakon baharu hanya membanting tulang terhadap skop yang sama sahaja.
Namun, bagi pendatang baharu, Syazani Zikry, dia sudah menyusun strategi untuk kebolehpasarannya di masa hadapan.
Menurutnya, bidang penerbitan antara cabang seni yang dipercayai mampu memberi jaminan, selain berlakon di pentas teater, layar perak dan kaca TV.
“Saya mengekori rapat perkembangan kerjaya aktor terkenal iaitu Bront Palarae.
“Kagum dengan kebolehannya yang bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga dalam bidang pengarahan, penerbitan, dan penulis layar.
“Dari situ saya melihat bagaimana Bront berjaya melestarikan kerjaya dengan cemerlang sehingga ke hari ini,” jelas anak jati kelahiran Selangor itu.
Tambahnya, sutradara Feisal Azizuddin dan Iskander Azizuddin antara orang industri yang banyak memberikan dorongan kepadanya.
Bukan sekadar omong kosong, Syazani, 25, pernah berjaya mendapatkan dana kandungan digital daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menghasilkan filem pendek berjudul Can You Love Me Most?
Malahan karya berkenaan berjaya diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM32).
Bukan itu sahaja, filem pendek yang sama turut diluluskan bagi tayangan di Festival Filem Yogjakarta pada 2021.
Berkongsi mengenai penglibatan lakonan, pelakon filem Kabus itu akan berasa puas jika mendapat respons daripada penonton.
“Definisi kepuasan berlakon bagi saya apabila penonton dapat merasakan watak yang saya lakonkan itu hidup.
“Selain itu, saya cuba memahami bagaimana rasanya menjadi orang lain dan merasai pengalaman hidup mereka, sekali gus menghidupkan watak tersebut,” katanya.
Empat filem yang bakal ditayangkan antaranya ialah TetiberUtuber (terbitan Aquila Emas, arahan Zizan Nin), Angkat (terbitan FEISK Productions, arahan Feisal Azizuddin), Seledangs & Shotguns, dan Send Tudes.
Sekadar info, graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda bidang Penyiaran di Taylor’s University ini turut berkecimpung sebagai pengacara skrin dan majlis. – BOOM!