Penyanyi baharu, Dahlia Farhana menolak dakwaan mengatakan lagu Langit Yang Sama nyanyiannya ditujukan kepada pihak tertentu atau mempunyai kaitan dengan sesiapa.
Jelas Dahlia, lagu ciptaannya itu juga bukan bertujuan menumpang populariti sesiapa, namun dikaitkan dengan pempengaruh media sosial yang juga kekasih kepada seorang penyanyi dek sebab situasi sedang panas ketika itu.
“Saya tidak menggunakan nama sesiapa untuk promosikan lagu Langit Yang Sama. Mungkin ketika lagu berkenaan dilancarkan, kebetulan pula sama dengan situasi ketika itu. Saya rasa itu ‘timing’.
“Sudah lama sebenarnya saya cipta lagu ini, dari tahun lepas lagi. Lagu ini sebenarnya diinspirasikan daripada bulan. Maka, terhasillah Langit Yang Sama.
“Saya maklum mengenai perkara ini kerana ada yang berkongsi kepada saya. Tetapi memang bukan ditujukan atau diciptakan untuk sesiapa,” katanya.
Terdahulu, single nyanyian Dahlia itu menjadi kontroversi apabila didakwa mahu ditujukan ke arah seorang pempengaruh media sosial yang sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi wanita.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan turut menafikan merampas pempengaruh media sosial itu daripada mana-mana individu untuk menjalinkan hubungan cinta.
Biarpun masih hijau dalam industri seni, Dahlia menjelaskan dirinya amat terbuka sekiranya terjumpa atau terserempak dengan penyanyi wanita tersebut bersama kekasihnya di mana-mana acara.
“Saya tiada masalah dengan sesiapa. Memang betul, industri ini sangat kecil dan mana-mana pun boleh terjumpa. Jangan kata di acara atau majlis, jika keluar ke mana-mana pun mungkin terjumpa.
“Saya okay saja dan tidak akan lari,” katanya berseloroh tetapi serius memaksudkan percakapannya. – BOOM!